Jiman mengunyah makanan yang masih belum lumat di mulutnya. Lama Jiman mengunyah. Sambil tunduk, Jiman menahan empangan air matanya daripada pecah. Dua minit berlalu tanpa ada perbualan antara mereka.
"Betul ke?", Aishah memecahkan kebuntuan. "Betul", sambut Jiman perlahan.
"Mana Aishah tahu?"
"Dunia ni kecil je Jiman. Tak lari ke mana."
"Iyalah. I tahu. Tapi I kalau boleh tak mahu orang tahu. I malu Aishah. Terasa dayus diri I ni."
"Dayus tu jatuh kalau Jiman tak menasihati isteri Jiman. Aishah rasa Jiman takkan macam tu kan?"
Benar kata Aishah. Jiman selalu menasihati Leha. Jiman ajar Leha bersolat, baca Al-Quran. Leha Islam, tapi hanya pada nama. Jarang sekali Leha bersolat, apatah lagi berteleku menelaah kalam Allah itu. Tapi Jiman cuba sedaya-upayanya untuk membawa Leha ke jalan yang benar. Jiman punya keyakinan yang dia mampu mendidik isterinya itu supaya mematuhi perintah Allah, dan menjauhi laranganNya.
Jiman mengambil baki duit daripada pelayan restoran. "Aishah dah kahwin dah ke?", sambil mata Jiman mengerling jari manis Aishah. "Kenapa? Nak masuk meminang ke?", Aishah tergelak kecil. "Tak mahulah. I tak mahu kahwin dengan JANTAN", kata Jiman sambil membuat muka.
Aishah mengejar Jiman sehingga ke pintu kedai. Ketawa mereka seperti anak-anak. Seperti cerita dongeng. Dongeng Jiman dan Aishah.