Sunday 26 June 2011

Beg

"Sayang, jangan tinggalkan I ye. Janji?", pesan kekasih Jiman kepadanya sebelum berkahwin.

Tidak sekali. Jiman tidak akan meninggalkan buah hatinya. Walau apa pun yang terjadi, tekadnya, Leha lah penemannya hingga ke syurga. Jiman perlukan Leha, seperti anak kecil rindukan bantal busuknya.

Hubungan Leha dan Jiman sangatlah indah, meskipun mereka berdua anak sulung; diketahui umum sebagai egoistik dan keras kepala. Hanya sekali mereka bertengkar, itu pun seminggu sebelum mereka bertunang. Jiman mempercayai Leha seratus peratus. Tidak ada sebutir pun benih syak wasangkanya pada Leha meskipun ramai lelaki yang mengidami Leha, kerana sangka Jiman, hubungan yang matang adalah berasaskan kepercayaan.

Jiman silap.

Bermula dua bulan selepas berkahwin, Leha mula menunjukkan perangai yang kurang enak. Leha mula pulang lewat dari kerja. Layanannya terhadap Jiman juga acuh tak acuh. Jiman bingung, dan menyangka itu adalah cara perempuan menunjukkan rajuknya. Keraplah Jiman meminta maaf dengan Leha. Hampir setiap hari.

Tuhan maha penyayang. Tergerak hatinya untuk menyelak perbualan isterinya di Facebook. Luluhnya jiwa Jiman apabila perbualan Leha dan bekas kekasihnya terpampang di skrin komputer ribanya. Mereka bermadu kasih bersama sepanjang empat bulan perkahwinan Jiman dan Leha. Kesabaran Jiman sudah sampai di penghujungnya. Selepas bersemuka dengan Leha, Leha meminta supaya Jiman melepaskannya. Pelbagai alasan Leha ciptakan untuk mengukuhkan alasannya yang Jiman telah mengabaikan Leha, menyebabkan Leha berteduh kasih di pohon yang lain. Ibu bapa dan adik beradik Leha sudah dibasuh otak mereka dengan kata-kata nista terhadap Jiman. Jiman sudah tiada pembelaan di rumah itu.

Maka dibungkuslah segala kelengkapan Jiman di rumah mentuanya itu. Baju, kasut, beg, komputer riba. Sayunya Jiman tidak terkata. Selangkah demi selangkah disusuli titisan air mata. Jiman memunggah barangnya ke dalam kereta. Sambil berlinangan air matanya, Jiman melihat ke kerusi sebelahnya. Kali ini, Jiman pulang ke rumah bonda hanya bertemankan beg usangnya.

Saturday 18 June 2011

Hujan

Restoran Pelangi. Sampai pun. Puas Jiman berpusing mencari tempatnya. Tak banyak tempat kosong untuk meletak kereta. Bahu jalan pun jadilah.

Aishah lambat 10 minit. "Ah, biasalah. Perempuan", kata hati Jiman. Meja sudah dipilih. Jiman menyelak muka menu makanan sehelai demi sehelai. "Teh o' ais satu lah dik."

Pandangan Jiman jauh ke latar. Jiman masih sedih. Masakan tidak, perkahwinannya sangat singkat. Keringat ibu bapanya masih belum kering lagi, sudah berakhir. Hajat Jiman untuk beraya tahun ini bersama isterinya tidak tercapai. Jiman malu.

Sepanjang hidup Jiman, empat kali Jiman ditipu perempuan, termasuklah yang terbaharu ini. Jiman terlalu baik, terlalu mempercayai wanita yang istimewa dalam hidupnya. Jiman masochist.

"Panjangnya menung. Boleh duduk?"

Jiman kembali dari alam lamunan. "Eh, Aishah. Boleh, sila, sila. Adik, mintak menu". Aishah duduk sambil membetulkan tudungnya yang agak senget.

"Dah lama sampai?"
"Baru je."
"Jauh mengelamun?"
"Tak ada lah. Pasal kerja saja."
"Kerja? Ataupun.."

Belum pun sempat Aishah menghabiskan ayatnya, guruh berdentum dengan kuat.

"Cik nak makan apa?", sampuk pekerja restoran itu. "Ah, bagi saya nasi goreng Cina dengan jus tembikai. Jiman?", "Mi goreng ye dik."

Bunyi sudu berlaga pinggan semakin rancak. Nasi sudah pun separuh habis.

"So, tell me, apa yang bermain di fikiran Jiman?"
"Tak ada apa-apalah Aishah. Kerja bertimbun di pejabat saja."
"Jadi bukanlah sebab bekas isteri Jiman?"

Jiman tersentak. Matanya tepat ke Aishah. Aishah merenung Jiman. Dan hujan pun mulai turun dengan lebat.

Friday 17 June 2011

Ayam

Deburan air di tandas mengiringi surah Al Ma'thurat yang sayup di latarbelakang. Jiman mencapai pisau cukur di jendela. Bayangan di cermin ditenungnya. "Kacak aku ni sebenarnya", sambil tertawa geli hati. Licin mukanya dicukur. Terasa segar sedikit badannya disentuh angin kipas siling.

Selepas solat Maghrib, Jiman bersiap untuk keluar berjumpa Aishah. Berkerut dahinya menggodek memori zaman persekolahannya dulu, dalam perjalanan ke restoran. Agak samar, kerana sudah lebih sedekad ditinggalkan.

Aishah bukan gadis biasa. Dia seorang tomboi. Dia tidak feminin langsung. Kegemarannya bola keranjang dan papan luncur. Memang tidak sebulu dengan perempuan seumur dengannya.

"Woi Jiman, petang ni kau buat apa?", jerit Aishah
"Aku main bola la."
"Nak join boleh?"
"Mana boleh. Kau perempuan. Nanti kena tackle menangis. Hahaha."
"Ek eleh. Kerek kau ye."
"Kalau kau dah boleh kencing berdiri, baru boleh join kami", sambil disertai tawa rakan-rakan Jiman.

Jiman terkenang zaman sekolahnya yang cukup perisa suka dan duka. Masih teringat lagi cikgu Rosmah menarik sideburn sampai terjongket kaki Jiman kerana tidak membawa buku latihan. Cikgu Ashraf yang mengajarnya bermain gitar. Cikgu Jamilah yang lembut wataknya, seperti ibu sendiri. Sungguh rindu zaman itu.

Juga peristiwa "hantu" di dalam bilik darjah. Sekumpulan "penyiasat" ala siri 3 Penyiasat ditubuhkan untuk untuk menangkap "hantu" tersebut. Seminggu Jiman dan kawan-kawan menghendap bunyi cakaran di bumbung kelas. Masih tidak tahu apa puncanya bunyi itu. Jiman tidak mampu bersabar lagi. Jiman membuka cebisan bumbung dan disuluh sekelilingnya. Terungkai juga akhirnya.

Sebatang rokok dinyalakan, lalu dihembus asapnya. "Celaka punya ayam", kata Jiman kepada dirinya sendiri sambil tersenyum

Wednesday 15 June 2011

Esok

"Jiman, mak nak kenalkan Jiman dengan anak kawan mak, Suraya. Dia baik orangnya. Jaga solat, hormat orang tua. Jiman berkenalan la dengan dia dulu. Mana tau, Jiman berkenan". Terngiang-ngiang lagi di telinga Jiman kata-kata ibunya pagi tadi. "Entahlah, luka di hati masih berdarah mak, belum berkudis lagi", fikir Jiman.

Asap rokok dihembus berkepul menutup pandangannya sebentar. Mata Jiman lembut memerhati perilaku manusia yang berjalan di hadapannya. Yang bertudung, yang berskirt pendek, yang berseluar ketat. Semuanya ada agenda. Tetapi minda Jiman kosong, putih. Hidup Jiman sekarang hanyalah kerja, kerja, dan kerja. Jiman tak pernah bersungut. Gajinya cukup untuknya. Cukup untuk ibu bapa dan adik-adiknya.

"Jiman!". Terhenti lamunannya seketika. Gadis bertudung merah jambu, berbaju kurung moden. Aishah, kawan lama di sekolah menengah dulu menyapa.

"Eh, Aishah. Buat apa di sini?"
"Aishah kerja dekat sebelah bagunan Jiman ni lah. Jiman dah lama kerja di sini?"
"Dekat setahun lebih juga lah."
"Lama betul kita tak berjumpa. Dengar cerita, Jiman dah kahwin. Tahniah ye!"

Jiman kaku. Lidahnya kelu. Perlahan keluhannya. "Terima kasih", senyum Jiman dibuat-buat.

"Malam ni jom kita makan? Saya belanja", ajak Aishah
"Malam ni I ada meeting la Aishah."
"Esok lah kalau macam tu. Boleh?"
"Boleh. Ni business card I. Nanti you call I ye?"
"Ok. Jumpa esok", Aishah melirik senyuman sambil berjalan

Perlahan bisik Jiman. Esok

Jiman

Jiman bangun sambil menggaru punggungnya. "Sudah 3 jam aku di depan PC ni. Lapar pula". Peti sejuk diselongkar. Mana tau ada sisa coklat minggu lepas yang tertinggal.

Duduk dia kembali. Klik. Klik. Klik. "Ah tiada apa yang menarik lagi untuk dilihat. Tidurlah". Jiman melabuhkan badannya di atas katil. Jemarinya sibuk mengulit telefon pintar yang baru dibeli dua minggu lepas. Tiba-tiba Jiman tersentap. Dia terbaca pesanan ringkas kiriman bekas isterinya dahulu.

"I'll be there for you. In times of rich, and poor, sickness, and health"
"I takkan tinggalkan you sampai bila-bila sayang. Love you. Mwah!"

Kenangan lalu menggamit benak Jiman. Masih lagi segar diingatan, lafaz nikah yang disebut, ciuman salam pertama isterinya, Leha. Tetapi, perkahwinan itu tidak tahan lama. Munculnya orang ketiga memang tidak diduga. Apakan daya Jiman. Jiman hanya kuli. Jiman tak mampu untuk menyaingi anak Datuk Karim.

Perlahan rembesan air mata Jiman menemani tidurnya malam itu. "Tak apalah", hati Jiman menyapa, "bunga bukan sekuntum. Semua itu takdir". Jiman mengengsot tubuhnya ke sebelah kanan. Angin malam lembut mengoles pipinya, dan Jiman terus dibuai mimpi